Masjid Terapung indah putihnya
Di tepi teluk angin menderu
Tempat ibadah molek khusyuknya
Tambah Ramadhan Tarawih selalu...



Masjid Terapung yang terletak di Kuala Ibai, Kuala Terengganu dinamakan dengan nama Tengku Tengah Zaharah bersempena dengan nama Bonda Al-Marhum Sultan Terengganu Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah iaitu Tuanku Intan Zaharah binti Almarhum Tengku Seri Setia Raja. Masjid yang berwarna putih di keseluruhan struktur bangunannya di bina seumpama terapung di atas lagun/tasik dan mempunyai jambatan sambungan ke kawasan masjid ini. Masjid ini terletak lebih kurang 4.5 km daripada Pusat Bandar Kuala Terengganu iaitu Ibu Negeri bagi negeri Terengganu.

Keunikkan masjid yang mempunyai ciri-ciri senibina moden dan Moorish ditambah dengan ciri-ciri seperti terapung ini begitu cantik sekali apabila dilihat pada waktu malam dengan cahaya putih seperti bersinar terpancar keluar dari struktur bangunan masjid ini. Arkitek utama masjid terapung ini ialah Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah.

Pembinaan masjid seumpama ini di Terengganu adalah untuk mengimarahkan kariah dan jemaah setempat selain dari melambangkan negeri Terengganu ini sinonim dengan gelarannya iaitu Darul Iman. Kekuatan agama dan budaya Islam di sini dilambangkan dengan rakyatnya yang masih berpegang dengan agama Islam dan aktiviti-aktiviti keagamaan yang dijalankan di masjid.

Masjid ini jika anda dari arah Kuantan anda akan dapat melihatnya dari sebelah kanan anda, dan jika anda dari Pusat Bandar Kuala Terengganu anda akan dapat melihatnya dari sebelah kiri anda. Panorama masjid ini begitu cantik sekali jika dilihat dari aras tinggi Jambatan Sungai Ibai. Cahaya putih, langit biru dan pantulan kilauan air dari lagun/tasik dan kehijauan taman di sekelilingnya begitu asyik dan indah sekali.


Fakta Ringkas.
  • Masjid ini mula dibina pada September 1991 dan siap pertengahan Januari 1994 bernilai RM6.997 juta yang dikendalikan oleh Jabatan Kerja Raya.
  • Keluasan 1,372 meter persegi dan menara setinggi 30m.
  • Sebuah kubah besar dan lima wakaf serta di kelilingi air sedalam 1.5 meter.
  • Mampu menampung jemaah sehingga 1,000 orang yang menempatkan dewan solat lelaki di bahagian bawah manakala wanita di bahagian atas.
  • Masjid ini adalah inspirasi Almarhum Sultan Terengganu, Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah ibni al-Marhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
  • Kemudahan : bilik diraja, perpustakaan kecil, bilik dan pejabat imam, stor, tempat wuduk dan kawasan letak kereta yang boleh menampung lebih 400 kenderaan.

Imbauan oleh/Posted by AWANG Sunday, August 22, 2010

0 orang royak doh

Post a Comment

Subscribe here

TERENGGANU

ترڠڬانو

Penulis/The Writer: Awang

Menjejak warisan, tradisi, seni budaya, dialek dan citra pesona Terengganu. Kembara bersama Journey Terengganu

Journey Terengganu Icon

Kata Terengganu : Terengganu's Words

Seni Lagu Pantun Kanak-Kanak Terengganu

The Old Bukit Besi & Dungun

Komen Mutakhir